Budu Panjangkan Usia Orang Kelantan

By: admin

Masyarakat Melayu Kelantan jarang dikesan menghidap kanser perut dipercayai kerana faktor pengambila budu dan pegaga dalam makanan harian.

Pakar Perunding Kanan Gastroenterologi, Hepatologi dan Perubatan Dalam, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr Lee Yeong Yeh berkata, antara faktor utama penyakit tersebut adalah kewujudan kuman Helicobacter pylori (H.pylori) dalam perut namun bakteria jenis itu didapati jarang terdapat dikalangan penduduk negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya unsur biokimia yang terdapat dalam makanan tradisional tempatan itu merencat pertumbuhan H.pylori sekali gus mengurangkan risiko penyakit kanser perut golongan yang menggemari budu dan pegaga.

“Kita masih lagi dalam peringkat kajian awal namun setakat ini kita percaya pengambilan budu dan pegaga mungkin boleh mencegah H.pylori dan seterusnya kanser perut.

“Selain daripada itu, penduduk Melayu di sini juga didapati mempunyai jenis-jenis varian gen yang boleh menghasilkan unsur-unsur bahan kimia badan yang boleh melawan kuman H.pylori,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Syarahan Umum sempena pelantikannya sebagai Profesor bertajuk ‘Perubahan Lanskap Kesihatan Gastrousus di Malaysia daripada H.Pylori kepada Obesiti’ di Dewan Utama Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian.

Selain beliau, seorang lagi profesor bidang Farmakogenetik, Prof. Gan Siew Hua turut menyampaikan syarahan bertajuk ‘Gen dan Ubat-ubatan Serta Penyelidikan Madu’.

Yang turut hadir, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Prof Dr Shaiful Bahari Ismail. – utusan online 21 Mei 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to Top