ANAK KELANTAN DI PERANTAUAN TETAP BERSAMA KERAJAAN NEGERI

By: admin

Majlis Mesra Aidilfitri Pimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Kelantan di Perantauan semalam menjadi aktiviti tahunan setiap 2 Syawal yang menjadikan waktu kesempatan yang baik menghimpunkan anak-anak perantau Kelantan yang pulang ke kampung halaman berhari raya bersama pimpinan kerajaan negeri.

Sambutan ini telah berlangsung sejak di bawah pemerintahan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan diteruskan oleh YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob hari ini. Peluang sebegini diambil untuk menyampaikan maklumat yang tepat kepada mereka yang berada di perantauan samaada melalui ucapan amanat pimpinan atau bahan bacaan yang diedarkan.

2 Syawal 1438 semalam mencatatkan kehadiran yang tinggi sejak Unit Hubungan Seranta (UHS) diwujudkan pada tahun 2015 (UHS antara cetusan perubahan yang dilakukan oleh YAB Ustaz Dato’ Ahmad Yakob).

Kehadiran tahun ini meningkat sekali ganda mencecah 2,000 orang berbanding tahun lalu yang diadakan di Bawah Plaza Kompleks Kota Darulnaim sekitar 1,000 orang sahaja.

Para tetamu dan anak-anak perantau juga tiba seawal jam 8.00 malam menikmati juadah nasi gulai kawah, satey, mee dan keow teow goreng, kambing bakar, ketupat dan tapai.

Kehadiran YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri di majlis ini tentunya dinanti-nantikan. Beliau menyampaikan amanat dengan penuh ceria dan bersemangat kepada anak-anak perantau menerangkan bagaimana sokongan dan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan pelbagai pihak termasuk para pegawai tadbir negeri, NGO, agensi-agensi kerajaan negeri dan lebih utama pihak istana. Keakraban tersebut digambarkan melalui salam dari YMM Pemangku Raja Kelantan yang dititahkan kepada YAB Ustaz Dato’ Menteri Besar untuk disampaikan kepada rakyat Kelantan.

Begitu juga sebelumnya ucapan yang disampaikan oleh YB Dato’ Haji Fauzi Che Mamat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan menjelaskan kedudukan prestasi agensi-agensi kerajaan negeri terkini yang menunjukkan kecemerlangan yang membanggakan.

YB Dato’ Haji Mohd Nasuruddin Daud selaku Exco yang diamanahkan untuk menjaga hal ehwal rakyat Kelantan di luar juga diberikan peluang menyampaikan ucapan di majlis tersebut selepas ucapan aluan oleh Timbalan Presiden Perakan Dato’ Prof. Sr. Dr. Wan Mohd Aminuddin Wan Hussin yang mewakili perantau.

Kenapa tiada dialog?

Perbincangan berkaitannya telah beberapa kali dibincangkan dalam Jawatankuasa Induk. Pengalaman sebelum ini sewaktu diadakan dialog maka sedikit sebanyak akan mengeruhkan suasana hari raya apabila timbul soalan-soalan panas dan tambahan jika soalan yang ditanya dijawab dengan tidak memenuhi kehendak orang yang bertanya. Pernah berlaku seorang tetamu terus bergegas pulang tanpa menjamah makanan kerana tidak berpuas hati atas jawapan yang diberikan. Maka majlis hari raya kami melihat ia perlu dijadikan tempat merapatkan hubungan antara pimpinan dan rakyat.

Sesungguhnya pimpinan kerajaan negeri terutama YAB Ustaz Dato’ Menteri Besar tidak pernah menutup ruang kepada rakyatnya untuk bersuara. Apatah lagi jika suara-suara sumbang yang mengatakan kerajaan negeri hari ini takut dan pengecut. Amat tidak benar. Untuk makluman, sebelum ini kami telah adakan Majlis Amanat Menteri Besar dan Pelantikan Duta di 6 zon bermula di Lembah Klang dan berakhir di Sarawak. Dalam majlis ini kami telah membuka dialog seluas-luasnya kepada warga Kelantan yang berada di luar. Ini tidak termasuk program-program bersama perantau anjuran Perakan dan Dun masing-masing yang turut membuka ruang untuk berdialog.

Akhirnya kami mengucapkan penghargaan terima kasih kepada YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan dam Yabhg. Datin dan semua EXCO, YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan yang bersama-sama meraikan perantau hingga berakhir majlis. Majlis berakhir sekitar jam 12.00 malam dengan penyampaian duit raya kepada kanak-kanak. Tahniah juga kepada para pemenang cabutan bertuah. Terima kasih kepada PKINK dan PMBK atas penajaan hadiah.

Terima kasih kepada semua anak perantau kerana terus menyokong kerajaan negeri Kelantan hari ini.

Unit Hubungan Seranta Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan-UPKN
3 Syawal 1438H

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to Top